Sunday, November 30, 2008

SEJARAH NURUL IMAN...


Taman Pendidikan Islam Nurul Iman adalah satu sistem pendidikan bercirikan pondok moden dan berasrama penuh, di mana ilmu agama dan akademik diterapkan bersama agar para pelajar dapat mengimbangi antara duniawi dan ukhrawi.

Nurul Iman terletak di Kampung Bukit Cherakah, Meru Klang. Satu tempat yang jauh dari kesibukan kota berada di tepi hutan kelapa sawit. Bangunan di Nurul Iman mula didirikan di atas tanah yang telah diwakafkan dan memulakan operasi secara rasmi pada akhir tahun 1994 dengan 1 bangunan surau beserta kelas, 1 pejabat beserta bilik guru, 1 bangunan asrama lelaki dan perempuan, 1 kantin dan dapur.



Pengambilan pelajar peringkat pertama di Nurul Iman seramai 23 orang iaitu 16 orang pelajar putra dan 7 orang pelajar putri. Setelah itu pelajar-pelajar semakin bertambah dari hari ke bulan seterusnya ke tahun. Dengan bilangan guru seramai 5 orang dan seorang warden yang diketuai oleh Mudir Nurul Iman Drs. Ustaz Haji T. Wahidin Soekarno Al-Haj.



Pada peringkat awal bermacam ujian dan cubaan yang dihadapi oleh para pelajar terutamanya tentang pembelajaran disebabkan oleh kekurangan guru ketika itu. Setiap hujung minggu, kakak-kakak daripada UITM Shah Alam akan datang untuk membantu mengajar adik-adik di Nurul Iman dalam pelbagai pelajaran. Masalah air juga berlaku dan kadang para pelajar akan keluar mandi di anak sungai (kolam katak) yang terletak di tepi hutan kelapa sawit. Masalah Histeria juga mengganggu para pelajar terutama kepada pelajar putri kerana Nurul Iman masih lagi baru dan keras.



Pada tahun 1997, sebuah bangunan 2 tingkat untuk asrama, kelas, surau dan bilik guru telah siap dibina, hasil daripada sumbangan ikhlas derma orang ramai dan orang perseorangan beserta titik peluh orang-orang yang membina bangunan tersebut termasuklah pelajar-pelajar Nurul Iman yang setiap petang mengangkut batu-bata ke atas bukit dan membantu dalam pembinaan bangunan tersebut. Pada tahun itu juga Nurul Iman memulakan sesi persekolahan untuk sekolah rendah agama.



Kini Nurul Iman telah berubah wajah dan tidak lagi seperti dahulu yang serba kekurangan. Ianya telah mempunyai prasarana yang cukup lengkap dan indah pada waktu diambil alih oleh JAIS mulai pada tahun 2000 (Sekolah Rendah Agama Rakyat) dan ditadbir sepenuhnya oleh Kerajaan (Sekolah Menengah Agama) pada tahun 2004. Kini Nurul Iman dikenali dengan nama Sekolah Agama Menengah Nurul Iman @ S.A.M.N.I. dan telah diiktiraf oleh Kementerian Pelajaran sebagai Sekolah Bantuan Kerajaan.

No comments:

Kotak Carian