Sunday, December 21, 2008

Hijrah 1430 : Antik Atau Penyakit ?


Maal hijrah datang lagi, bermakna sudah berlalu setahun dari tahun yang sebelumnya. Rasa macam semalam segala berlaku, rupanya sudah lama. Rasanya baru kita menjejakkan kaki ke dunia, rupanya sudah banyak perkara yang kita lalui dan tempuhi. Bila semakin jauh perjalanan usia, maka semakin dekatlah destinasinya. Bermakna bertambahlah lembaran buku catatan kita tetapi lembaran yang mana? Yang negatif atau yang positif, semuanya dicatat dengan setia oleh dua malaikat yang ditugaskan di kiri dan kanan kita.

Kerana itu Maal Hijrah jadi begitu bererti bagi yang hendak baiki diri. Sempena memperingati hijah Rasulullah dari Makkah ke Madinah, kita ambil peluang untuk turut berhijrah bersama. Hijrah kita bukan naik unta, mencari tempat yang selamat untuk menyembah Tuhan tetapi hijrah kita adalah hijrah hati. Bukan tempat jadi halangan untuk besarkan Tuhan tapi hati yang belum tertempa untuk jinak dan bermanja dengan penciptaNya. Kerana itu hatilah yang perlu berhijrah. Hijrah tanpa unta, tanpa perlu berjalan di tengah panas, tanpa perlu takut di kejar musuh, tapi... Hijrah dari alam gelap kepada alam cahaya, alam leka kepada alam jaga, alam fantasi kepada alam realiti. Inilah kehidupan sementara sebelum kita hadir ke alam hakiki yang kekal abadi.

Kita perlu berhijrah, dari sekecil-kecil perkara hinggalah kepada sebesar-besarnya. Mulalah dari yang kecil, kerana yang kecil itulah membentuk yang besar. Hijrahlah dari sikap tak baik kita kepada sikap yang baik. Terutama dalam soal diri kita sendiri, terlalu banyak soal tak baik yang kita masih jaga dengan baik.

Ibarat pindah ke rumah baru, dari rumah lama. Dalam packing barang tu, tentulah banyak sampah sarap, barang-barang lama yang kita tak berkenan lagi, kita jumpa. Barang-barang lama ni, takkanlah kita nk bawa sekali pindah, yang tak perlu seperti periuk yang dah tembus, tayar basikal lama, kain buruk, pinggan-mangkuk yang retak dan sumbing, kotak-kotak lama, kerusi yang dah patah riuk buat apa nak disimpan lagi. Tempat buang sampahlah selayaknya. Hanya yang baik-baik dan berguna saja kita bawa ke rumah baru.

Begitulah juga dengan penghijrahan diri yang sepatutnya. Nak masuk tahun baru ni, sikap-sikap yang berserabut dan berdebu tu, eloklah kita buang dan bersihkan. Suka merajuk, suka menunjuk, suka menyibuk, suka menyampuk, suka mengutuk, suka mengamuk dan pelbagai lagi kesukaan kita yng tak elok tu, janganlah kita simpan ibarat memelihara barang antik yang makin disimpan makin berharga. Kita perasan cantik dan antik, tapi orang lain naik jelik melihatnya.

Tapi pandanglah seperti penyakit kanser, makin dipendam semakin parah. Kalau bukan kita yang nak membuangnya, siapa lagi? Doktor hanya boleh membedah dan mengubatinya dengan kemahuan dan keizinan kita. Kalau kita masih sayang dan nak sehidup semati dengannya... apakan daya..

Kerana itu, sempena Tahun Baru Hijrah yang akan menjelma nanti, sambutlah dengan azam dan semangat yang baru... dari yang tak baik berhijrahlah kepada yang baik. Dari yang dah baik, kepada yang lebih baik. Minat mengumpul dan menyimpan sikap antik, eloklah diganti dengan usaha memulihkan penyakit, sebelum hijrah kita yang terakhir... dari dunia yang fana ini ke Alam Baqa yang kekal abadi. Inilah hijrah besar yang tiada lagi hijrah-hijrah selepasnya dan tiada lagi ’excuse’ untuk kita!

No comments:

Kotak Carian